Advanced Search

Prison Act 1995


Read law translated into English here: https://www.global-regulation.com/translation/malaysia/5959910/prison-act-1995-.html

Subscribe to a Global-Regulation Premium Membership Today!

Key Benefits:

Subscribe Now for only USD$40 per month.
JW513905 Teks BM.indd 1Penjara
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
CETAKAN SEMULA
Akta 537
AKTA PENJARA 1995 Mengandungi segala pindaan hingga 1 Oktober 2009
DITERBITKAN OLEH PESURUHJAYA PENYEMAK UNDANG-UNDANG, MALAYSIA
DI BAWAH KUASA AKTA PENYEMAKAN UNDANG-UNDANG 1968 2009
2 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
AKTA PENJARA 1995
Tarikh Perkenan Diraja … … … … … 19 Oktober 1995
Tarikh penyiaran dalam Warta … … … 2 November 1995
3Penjara
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 537
AKTA PENJARA 1995
SUSUNAN SEKSYEN
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Seksyen
1. Tajuk ringkas
2. Tafsiran
BAHAGIAN II
PENUBUHAN DAN PENTADBIRAN
3. Kuasa mengisytiharkan penjara
4. Bangunan sedia ada diisytiharkan sebagai penjara
5. Perihalan penjara dalam writ, dsb.
6. Penguntukan penjara bagi kategori banduan
7. Penetapan lokap di balai polis dan bangunan mahkamah sebagai tempat tahanan
8. Penjara sementara
9. Pentadbiran penjara
BAHAGIAN III
PEGAWAI
10. Pelantikan pegawai
11. Ketiadaan atau ketidakupayaan Komisioner Jeneral
12. Perintah Tetap Komisioner Jeneral
13. Tugas Komisioner Jeneral
14. Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian bagi penjara
4 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Seksyen
15. Tugas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian
16. Terma dan syarat pelantikan
17. Tugas pegawai penjara
18. Senjata, pelengkapan, dsb.
19. Perkhidmatan dalam Malaysia atau di atas vesel, pesawat udara, dsb.
19A. Berkhidmat di luar Malaysia
20. Pematuhan undang-undang bertulis dan perintah yang sah
21. Pegawai penjara disifatkan sebagai pekhidmat awam
22. Penggunaan senjata
23. Pegawai penjara mempunyai kuasa pegawai polis
24. Bantuan polis semasa darurat
25. Pegawai penjara tidak boleh menjadi anggota kesatuan sekerja
BAHAGIAN IV
JAGAAN DAN PENGALIHAN BANDUAN
26. Jagaan
27. Penyerahan orang yang ditahan secara waran
28. Penyerahan orang yang ditahan secara reman
29. Pegawai yang Menjaga hendaklah menahan orang yang dikomitkan
30. Pengemukaan di hadapan mahkamah
31. Kuasa Komisioner Jeneral memerintahkan pengemukaan dalam hal tertentu
32. Pengalihan dan pemindahan banduan
33. Pemindahan banduan yang dijatuhkan hukuman mati
34. Perintah berhubungan dengan banduan yang dipindahkan
35. Keterangan
36. Banduan celaru mental
37. Banduan yang sakit
38. Pemulangan ke penjara
39. Tanggungan kerana melarikan diri
40. Tugas untuk membantu dalam mencegah kelarian
41. Jagaan khas dalam hospital
42. Vesel pengalihan
5Penjara
Seksyen
43. Pelepasan banduan secara lesen
44. Peremitan hukuman
45. Pembebasan banduan
46. Kuasa kecualian Mahkamah Tinggi
BAHAGIAN IVA
PAROL
46A. Tafsiran bagi maksud Bahagian IVA
46B. Penubuhan Lembaga Parol
46C. Kuasa Lembaga Parol
46D. Orang diparol tertakluk kepada Bahagian ini
46E. Layak untuk mendapat parol
46F. Perkara untuk diambil kira oleh Lembaga Parol sebelum membuat perintah
46G. Prosiding di hadapan Lembaga Parol
46H. Keputusan Lembaga Parol
46I. Banduan menjalani parol disifatkan terus menjalani hukuman
46J. Tugas pegawai parol
46K. Tanggungjawab orang diparol
46L. Penukaran daerah parol
46M. Penggantungan dan pembatalan Perintah Parol
46N. Kesan pembatalan Perintah Parol
46O. Tempoh semasa orang diparol bebas tidak dikira sebagai sebahagian daripada hukuman
BAHAGIAN V
PEKERJAAN DAN TATATERTIB PENJARA
47. Kesan hukuman pemenjaraan
48. Skim bagi banduan untuk melibatkan diri dalam pekerjaan
49. Pengasingan banduan
50. Hukuman bagi kesalahan penjara oleh Pegawai yang Menjaga
51. Daftar hukuman
52. Banduan boleh membuat pembelaannya
53. Pendakwaan bagi kesalahan
6 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
BAHAGIAN VI
KESALAHAN
Seksyen
54. Kesalahan mengenai perbekalan penjara
55. Pembayaran wang dilarang
56. Penyerahan pakaian seragam, dsb., semasa berhenti
57. Pemilikan, penjualan atau pembekalan artikel yang dibekalkan kepada pegawai penjara, dsb., yang menyalahi undang-undang
58. Penyeludupan artikel yang dilarang ke dalam penjara
59. Penalti am
BAHAGIAN VII
KUMPULAN WANG HADIAH PEGAWAI PENJARA
60. Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara
61. Penggunaan Kumpulan Wang
62. Pentadbiran Kumpulan Wang
BAHAGIAN VIIA
KADET PENJARA
62A. Penubuhan Kadet Penjara
62B. Anggota Kadet Penjara
BAHAGIAN VIII
AM
63. Pegawai penjara tertakluk kepada peraturan-peraturan tatatertib
64. Hakim Pelawat
65. Tugas Hakim Pelawat
66. Lawatan oleh Hakim, Majistret, dsb.
67. Peraturan-peraturan
68. Peruntukan pemansuhan, kecualian dan peralihan
7Penjara
JADUAL PERTAMA
JADUAL KEDUA
JADUAL KETIGA
JADUAL KEEMPAT
8 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
9Penjara
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 537
AKTA PENJARA 1995
Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang berhubungan dengan penjara, banduan dan perkara-perkara yang berkaitan.
[18 Januari 1996, P.U. (B) 24/1996]
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas
1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Penjara 1995.
Tafsiran
2. (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“banduan” ertinya seseorang, sama ada disabitkan atau tidak, yang dikurung dalam sesuatu penjara dan berhubung dengan banduan yang disabitkan, termasuklah banduan yang dilepaskan secara parol;
“banduan muda” ertinya seseorang banduan yang di bawah umur dua puluh satu tahun;
10 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
“diet terhad yang ditetapkan” ertinya sesuatu skala diet sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi maksud seksyen 50;
“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh atau di bawah Akta ini dan jika kuasa tidak ditetapkan, oleh Menteri;
“doktor pergigian berdaftar” ertinya seseorang doktor pergigian yang didaftarkan di bawah Akta Pergigian 1971 [Akta 51];
“Hakim Pelawat” ertinya seseorang anggota Lembaga Hakim Pelawat yang dilantik di bawah seksyen 64;
“hospital mental” ertinya sesuatu hospital yang ditubuhkan bagi penerimaan dan penahanan orang celaru mental di bawah seksyen 30 Ordinan Kecelaruan Mental 1952 [Ord. 31 tahun 1952], dan termasuklah sesuatu hospital yang diluluskan yang diwartakan di bawah Ordinan Kesihatan Mental 1961 [Sarawak Ord. 16 tahun 1961] dan sesuatu rumah sakit di bawah Ordinan Orang Gila 1961 [Sabah Bab 74];
“hukuman pemenjaraan” ertinya sesuatu hukuman sama ada dijalani dalam pengurungan dalam sesuatu penjara atau dijalani secara parol, dan termasuklah sesuatu hukuman asal yang dijatuhkan oleh sesuatu mahkamah serta sesuatu hukuman yang diberi secara peringanan;
“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang ditubuhkan di bawah seksyen 62;
“kesalahan kecil penjara” dan “kesalahan besar penjara” ertinya sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang banduan terhadap tatatertib penjara dan yang dinyatakan sedemikian dalam peraturan- peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
*“Komisioner” ertinya Komisioner Penjara yang dilantik di bawah subseksyen 10(2);
*“Komisioner Jeneral” ertinya Komisioner Jeneral Penjara yang dilantik di bawah subseksyen 10(1);
*CATATAN—Semua sebutan mengenai Ketua Pengarah Penjara dan Timbalan Ketua Pengarah Penjara dalam mana-mana undang-undang bertulis atau dalam mana-mana surat cara, surat ikatan, hak milik, dokumen, bon, perjanjian dan perkiraan kerja yang wujud sebaik sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta Penjara (Pindaan) 2008 [Akta A1332], hendaklah, pada tarikh permulaan kuat kuasa Akta A1332, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Komisioner Jeneral Penjara dan Komisioner Penjara masing-masing–lihat seksyen 4 Akta A1332 dan P.U. (B) 260/2008.
11Penjara
“Kumpulan Wang” ertinya Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang ditubuhkan di bawah seksyen 60;
“mahkamah” ertinya sesuatu mahkamah yang ditubuhkan oleh atau di bawah Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah termasuk—
(a) Mahkamah Syariah;
(b) Mahkamah Anak Negeri; dan
(c) Mahkamah Tentera;
“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi penjara;
“pegawai penjara” ertinya seseorang kakitangan berpakaian seragam jabatan penjara daripada dan termasuklah pangkat Komisioner Jeneral Penjara ke bawah sehingga dan termasuklah seseorang Wadar;
“Pegawai Perubatan” dan “Pegawai Pergigian” ertinya Pegawai Perubatan atau Pegawai Pergigian, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah seksyen 14;
“pegawai polis” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah Akta Polis 1967 [Akta 344];
“Pegawai Rendah Penjara” ertinya seseorang pegawai penjara daripada apa-apa pangkat dan termasuklah seseorang Sub Inspektor Penjara ke bawah sehingga dan termasuklah seseorang Wadar;
“Pegawai yang Menjaga” ertinya seseorang pegawai penjara yang berpangkat tidak rendah daripada Penolong Komisioner Penjara yang menjaga sesuatu penjara;
“Pendaftar” termasuklah Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Penolong Kanan Pendaftar, Penolong Pendaftar, dan Pendaftar Mahkamah Rendah, mengikut kehendak keadaan;
“pengamal perubatan berdaftar” ertinya seseorang pengamal perubatan yang didaftarkan sementara di bawah seksyen 12 atau yang didaftarkan penuh di bawah seksyen 14 Akta Perubatan 1971 [Akta 50], mengikut mana-mana yang berkenaan;
“penjara” ertinya mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah seksyen 3 dan hendaklah termasuk tanah
12 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
dan bangunan di sekitar kepungan penjara dan juga tanah lapang dan tanah lain atau bangunan yang dipunyai atau yang bercantum dengannya dan digunakan oleh banduan;
“Perintah Tetap Komisioner Jeneral” ertinya Perintah Tetap yang dikeluarkan oleh Komisioner Jeneral dari semasa ke semasa;
“pihak berkuasa kompeten” ertinya mana-mana orang atau pihak berkuasa yang diletakhakkan dengan kuasa untuk mengkomitkan seseorang ke penjara di bawah mana-mana undang-undang bertulis;
“senjata” ertinya apa-apa cota, senjata api, amunisi, dan termasuklah apa-apa alat yang ditentukan oleh Komisioner Jeneral;
“senjata api” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah Akta Senjata Api 1960 [Akta 206];
“Suruhanjaya” ertinya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan di bawah Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan;
“tempat kerja” ertinya sesuatu tempat di mana banduan dikehendaki oleh Komisioner Jeneral untuk bekerja bagi maksud pemulihan banduan, yang kerja itu dilaksanakan di bawah pengawasan pegawai penjara.
(2) Bagi maksud tafsiran “banduan muda” dalam subseksyen (1), ia hendaklah termasuk seseorang banduan yang— (a) adalah bukan seorang banduan muda sebagaimana yang
ditafsirkan di bawah Ordinan yang dimansuhkan oleh Akta ini;
(b) adalah di bawah umur dua puluh satu tahun; dan (c) sedang menjalani suatu tempoh pemenjaraan yang dijatuhkan
sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini.
BAHAGIAN II
PENUBUHAN DAN PENTADBIRAN
Kuasa mengisytiharkan penjara
3. Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta , mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, sebagai suatu penjara bagi
13Penjara
maksud Akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah dan boleh dengan cara yang sama mengisytiharkan bahawa mana-mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud Akta ini.
Bangunan sedia ada diisytiharkan sebagai penjara
4. Tertakluk kepada apa-apa perisytiharan yang dibuat di bawah Akta ini, bangunan yang pada mula berkuat kuasanya Akta ini digunakan sebagai penjara hendaklah disifatkan sebagai penjara mengikut pengertian Akta ini.
Perihalan penjara dalam writ, dsb.
5. Dalam apa-apa writ, waran, atau surat cara undang-undang lain yang dalamnya mungkin perlu untuk diperihalkan sesuatu penjara tertentu, apa-apa perihalan yang menetapkan sesuatu penjara dengan merujuk nama tempat atau bandar di mana ia terletak, atau apa-apa perihalan pasti yang lain, hendaklah menjadi sah dan mencukupi bagi semua maksud.
Penguntukan penjara bagi kategori banduan
6. (1) Komisioner Jeneral boleh, dari semasa ke semasa, melalui perintah—
(a) menguntukkan penjara tertentu—
(i) bagi melaksanakan pengasingan kategori banduan yang berlainan;
(ii) bagi melatih kategori banduan yang berlainan; atau
(iii) bagi apa-apa sebab lain;
(b) mengehadkan kategori banduan dalam penjara tertentu.
(2) Seseorang banduan daripada kategori yang baginya sesuatu penjara hendak diperuntukkan boleh dihantar dan dipenjarakan dengan sah di penjara itu walaupun waran atau perintah bagi pemenjaraan banduan itu telah dikeluarkan oleh sesuatu mahkamah yang tidak mempunyai bidang kuasa lazimnya di tempat di mana penjara itu terletak.
14 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Penetapan lokap di balai polis dan bangunan mahkamah sebagai tempat tahanan
7. (1) Adalah sah bagi Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta, untuk menetapkan lokap di mana-mana balai polis dan bangunan mahkamah sebagaimana yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu sebagai tempat bagi pengurungan orang, yang direman atau dihukum dengan apa-apa tempoh pemenjaraan, tidak melebihi satu bulan, sebagaimana yang dinyatakan dalam setiap kes.
(2) Sesuatu lokap yang ditetapkan sebagai suatu tempat pengurungan di bawah subseksyen (1)—
(a) tidaklah boleh disifatkan sebagai sesuatu penjara bagi maksud Akta ini, atau Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 [Akta 7] dan peraturan- peraturan yang dibuat di bawah Akta ini tidaklah terpakai baginya;
(b) hendaklah disifatkan sebagai sesuatu penjara bagi maksud Bab XXVII Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] atau Akta Penghutang 1957 [Akta 256].
Penjara sementara
8. (1) Bilamana Komisioner Jeneral mendapati—
(a) bahawa bilangan banduan dalam sesuatu penjara adalah lebih ramai daripada bilangan yang semunasabahnya boleh ditempatkan dalam penjara itu dan bahawa adalah tidak sesuai untuk memindahkan bilangan yang lebih itu ke penjara lain; atau
(b) bahawa oleh sebab meletusnya sesuatu penyakit dalam sesuatu penjara atau bagi apa-apa sebab lain yang menyebabkannya perlu untuk menyediakan perlindungan sementara dan jagaan selamat bagi mana-mana banduan,
dia boleh, dengan kelulusan Menteri, mengarahkan secara bertulis bagi perlindungan dan jagaan selamat dalam penjara sementara sekian ramai banduan yang tidak boleh ditempatkan dengan sesuai atau selamat dalam penjara itu.
15Penjara
(2) Sesuatu penjara sementara di bawah subseksyen (1) adalah suatu penjara bagi maksud Akta ini.
(3) Seseorang banduan yang dialihkan ke sesuatu penjara sementara di bawah subseksyen (1) hendaklah, jika sebab bagi pengalihan itu terhenti, dikembalikan ke penjara yang darinya dia dikeluarkan jika tempoh pemenjaraannya belum habis.
(4) Arahan atau perintah yang dibuat atau diberi oleh Komisioner Jeneral di bawah subseksyen (1) hendaklah bagi tempoh tidak melebihi tiga bulan.
(5) Walau apa pun subseksyen (4), jangka masa apa-apa arahan atau perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh, dengan kelulusan Menteri, dilanjutkan bagi tempoh tambahan tidak melebihi tiga bulan pada bila-bila masa dan pelanjutan itu tidaklah boleh dalam apa-apa hal melebihi keseluruhan tempoh sembilan bulan.
Pentadbiran penjara
9. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan bidang kuasa, kuasa dan fungsi Suruhanjaya dan perintah Menteri yang dibuat di bawah Akta ini, penjagaan dan pentadbiran am penjara dan kawalan dan arahan am ke atas pegawai penjara di seluruh Malaysia hendaklah terletak hak pada Komisioner Jeneral.
(2) Komisioner Jeneral boleh dari semasa ke semasa membuat apa-apa pemindahan dan mengarahkan pengambilan kerja dan pengagihan pegawai penjara sebagaimana yang difikirkannya patut.
BAHAGIAN III
PEGAWAI
Pelantikan pegawai
10. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Komisioner Jeneral Penjara bagi Malaysia.
16 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(2) Maka hendaklah dilantik sekian bilangan Komisioner Penjara, yang adalah pegawai penjara, dan sekian bilangan pegawai penjara sebagaimana yang perlu bagi menjalankan peruntukan Akta ini.
(3) Pangkat bagi Pegawai Kanan Penjara dan Pegawai Rendah Penjara adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
Ketiadaan atau ketidakupayaan Komisioner Jeneral
11. (1) Jika Komisioner Jeneral tidak ada atau ketidakupayaan, kuasa dan tugas Komisioner Jeneral di bawah Akta ini atau mana- mana peraturan yang dibuat di bawahnya boleh dijalankan dan dilaksanakan oleh Komisioner Penjara yang diberi kuasa secara bertulis oleh Komisioner Jeneral.
(2) Jika Komisioner Penjara tidak ada atau ketidakupayaan, kuasa dan tugas Komisioner Jeneral hendaklah dijalankan dan dilaksanakan oleh pegawai penjara yang terkanan dalam jabatan penjara.
Perintah Tetap Komisioner Jeneral
12. Komisioner Jeneral boleh membuat dan mengeluarkan perintah, yang dipanggil Perintah Tetap Komisioner Jeneral yang tidak berlawanan dengan Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta.
Tugas Komisioner Jeneral
13. (1) Komisioner Jeneral hendaklah—
(a) secara berkala melawat dan memeriksa, atau menyebabkan supaya dilawati dan diperiksa, semua penjara di Malaysia;
(b) menyelia dan mengawal semua perkara yang berkaitan dengan mana-mana penjara, yang pentadbirannya adalah terletak hak padanya; dan
(c) bertanggungjawab kepada Menteri bagi—
(i) kelakuan dan pemerlakuan pegawai penjara dan banduan di bawah kawalannya; dan
17Penjara
(ii) pematuhan sewajarnya oleh pegawai penjara dan banduan akan peruntukan Akta ini dan semua undang-undang bertulis lain berhubungan dengan penjara atau banduan.
(2) Tertakluk kepada perintah Komisioner Jeneral, Pegawai yang Menjaga hendaklah—
(a) menyelia dan mengawal semua perkara yang berkaitan dengan mana-mana penjara, yang pentadbirannya adalah terletak hak padanya; dan
(b) bertanggungjawab kepada Komisioner Jeneral bagi—
(i) kelakuan dan pemerlakuan pegawai penjara dan banduan di bawah kawalannya; dan
(ii) pematuhan sewajarnya oleh pegawai penjara dan banduan akan peruntukan Akta ini dan semua undang-undang bertulis lain berhubungan dengan penjara atau banduan.
(3) Komisioner Jeneral boleh, secara bertulis, mewakilkan penjalanan mana-mana kuasanya atau pelaksanaan mana- mana tugasnya di bawah Akta ini kepada mana-mana pegawai penjara—
(a) tertakluk kepada apa-apa syarat atau had sebagaimana yang difikirkan patut oleh Komisioner Jeneral; dan
(b) kecuali perkara yang berhubungan dengan pemindahan pegawai penjara, pembuatan dan pengeluaran Perintah Tetap, dan apa-apa fungsi yang diwakilkan oleh Suruhanjaya kepada Komisioner Jeneral menurut Fasal (6) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.
Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian bagi penjara
14. (1) Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkhidmatan kesihatan hendaklah, bilamana hal keadaan membenarkan, melantik daripada kakitangan Kementerian Kesihatan seorang Pegawai Perubatan dan seorang Pegawai Pergigian bagi setiap penjara.
18 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(2) Jika hal keadaan tidak membenarkan suatu pelantikan di bawah subseksyen (1), maka Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkhidmatan kesihatan boleh melantik mana-mana pengamal perubatan berdaftar atau mana-mana doktor pergigian berdaftar menjadi Pegawai Perubatan atau Pegawai Pergigian bagi mana-mana penjara tertentu.
(3) Pegawai yang Menjaga hendaklah berurusan dengan Kementerian Kesihatan atau jabatan kesihatan tempatan bagi pelaksanaan tugas seseorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Pergigian oleh seorang lain jika Pegawai Perubatan atau Pegawai Pergigian itu tidak dapat melaksanakan tugasnya disebabkan oleh— (a) sakit; (b) ketiadaan buat sementara waktu; atau (c) kerana apa-apa sebab lain.
Tugas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian
15. Seseorang Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang dilantik di bawah seksyen 14 hendaklah berada di bawah kawalan dan penyeliaan Komisioner Jeneral semasa dalam penjara dan hendaklah melaksanakan apa-apa tugas yang ditetapkan.
Terma dan syarat pelantikan
16. Seseorang pegawai penjara yang dilantik di bawah Akta ini hendaklah tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan yang terpakai baginya pada tarikh pelantikannya.
Tugas pegawai penjara
17. Seseorang pegawai penjara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas sebagaimana yang ditetapkan.
Senjata, pelengkapan, dsb.
18. Seseorang pegawai penjara hendaklah diberikan apa-apa senjata, kelengkapan, pakaian seragam dan pelengkapan lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Komisioner Jeneral sebagai perlu bagi pelaksanaan tugasnya dengan cekap.
19Penjara
Perkhidmatan dalam Malaysia atau di atas vesel, pesawat udara, dsb.
19. Seseorang pegawai penjara hendaklah terikat untuk berkhidmat di mana-mana bahagian dalam Malaysia atau di atas mana-mana vesel, pesawat udara, kereta api atau apa-apa kenderaan lain yang banduan sedang diangkut.
Berkhidmat di luar Malaysia
19A. Menteri boleh menghendaki mana-mana pegawai penjara untuk berkhidmat di luar Malaysia.
Pematuhan undang-undang bertulis dan perintah yang sah
20. Seseorang pegawai penjara hendaklah menepati dengan tegas semua undang-undang dan peraturan-peraturan berhubungan dengan penjara dan banduan, dan hendaklah mematuhi semua perintah yang sah daripada pegawai atasannya sama ada diberikan secara lisan atau bertulis atau dikeluarkan dalam bentuk Perintah Tetap Komisioner Jeneral.
Pegawai penjara disifatkan sebagai pekhidmat awam
21. Komisioner Jeneral, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan pegawai penjara yang dilantik di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].
Penggunaan senjata
22. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), seseorang pegawai penjara boleh menggunakan senjata terhadap seseorang banduan—
(a) yang melarikan diri atau cuba melarikan diri dan jika pegawai penjara itu mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa dia sebaliknya tidak dapat mencegah kelarian atau percubaan untuk melarikan diri itu;
20 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(b) yang terlibat dalam— (i) sesuatu perbuatan kegemparan bersama; atau (ii) sesuatu percubaan untuk mengopak atau memecah
buka mana-mana pintu, pintu pagar atau tembok kepungan penjara; atau
(c) yang menggunakan kekerasan terhadap seseorang dan jika pegawai penjara itu mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa nyawa atau anggota orang itu adalah dalam bahaya, atau bahawa cedera parah lain mungkin akan berlaku kepada orang itu.
(2) Seseorang pegawai penjara hendaklah memberi amaran kepada banduan bahawa dia akan menembaknya sebelum menggunakan senjata api dalam hal keadaan yang disebut dalam subseksyen (1).
(3) Tiada seorang pun pegawai penjara boleh, dalam kehadiran pegawai atasannya, menggunakan senjata api terhadap seseorang banduan dalam hal perbuatan kegemparan atau percubaan untuk melarikan diri kecuali di bawah perintah pegawai atasan itu:
Dengan syarat bahawa pegawai penjara itu boleh menggunakan senjata api dalam hal keadaan di mana adalah tidak semunasabahnya praktik untuk mendapatkan perintah daripada pegawai atasan dan bahawa keadaan itu dikemukakan kepada pegawai atasan itu.
(4) Penggunaan senjata di bawah seksyen ini hendaklah, setakat yang boleh, untuk menghilangkan keupayaan dan bukan untuk membunuh.
(5) Seseorang pegawai polis semasa bertindak atas sifat sebagai seorang pengawal pengiring atau pengawal dalam atau di sekitar sesuatu penjara atau lokap bagi maksud memastikan jagaan selamat ke atas seseorang banduan hendaklah tertakluk kepada peruntukan seksyen ini.
Pegawai penjara mempunyai kuasa pegawai polis
23. Tertakluk kepada apa-apa peruntukan yang dinyatakan sebaliknya, seseorang pegawai penjara semasa bertindak sedemikian hendaklah menurut jawatannya mempunyai semua kuasa, kewenangan, perlindungan dan keistimewaan seseorang pegawai polis.
21Penjara
Bantuan polis semasa darurat
24. (1) Komisioner Jeneral boleh, dalam sesuatu darurat atau bagi kepentingan keselamatan awam, meminta bantuan Polis Diraja Malaysia.
(2) Pegawai polis yang membantu di bawah subseksyen (1) hendaklah diketuai oleh seorang pegawai kanan polis dan semua pegawai polis sedemikian hendaklah berada di bawah kawalan dan penyeliaan Komisioner Jeneral atau mana-mana pegawai penjara lain yang diberi kuasa secara khas bagi maksud itu.
Pegawai penjara tidak boleh menjadi anggota kesatuan sekerja
25. (1) Bagi maksud membolehkan pegawai penjara menimbang dan membawa kepada perhatian Kerajaan semua perkara yang melibatkan kebajikan atau kecekapan mereka, termasuk gaji, pencen dan syarat perkhidmatan, selain persoalan tatatertib dan kenaikan pangkat yang melibatkan individu, maka bolehlah ditubuhkan sesuatu persatuan yang hendaklah dikendalikan dan ditadbirkan mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh Menteri.
(2) Sesuatu persatuan yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) hendaklah pada keseluruhannya bebas daripada dan tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan orang di luar jabatan penjara dan hendaklah disifatkan bukan sesuatu kesatuan sekerja dalam pengertian Akta Kesatuan Sekerja 1959 [Akta 262], dan hendaklah dikecualikan daripada peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
(3) Tertakluk kepada subseksyen (1) dan (2), tiada pegawai penjara boleh menjadi seorang anggota mana-mana kesatuan sekerja atau persatuan yang mempunyai bagi tujuannya atau sebagai salah satu daripada tujuannya kawalan atau yang mempengaruhi gaji, pencen atau syarat perkhidmatan pegawai penjara.
(4) Seseorang pegawai penjara yang melanggar subseksyen (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi seribu ringgit.
22 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(5) Apa-apa persoalan tentang sama ada sesuatu badan itu adalah kesatuan sekerja atau sesuatu persatuan yang baginya seksyen ini terpakai hendaklah ditentukan oleh Menteri.
(6) Sesuatu persatuan yang ditubuhkan sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini di bawah seksyen 27A Ordinan Penjara 1952 [Ord. P.T.M. 81/1952] hendaklah disifatkan suatu persatuan yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) sehingga persatuan itu dibubarkan.
BAHAGIAN IV
JAGAAN DAN PENGALIHAN BANDUAN
Jagaan
26. (1) Seseorang banduan—
(a) yang dikurung dalam sesuatu penjara hendaklah disifatkan berada dalam jagaan sah Pegawai yang Menjaga penjara itu;
(b) hendaklah tertakluk kepada tatatertib penjara dan kepada semua undang-undang bertulis berhubungan dengan penjara atau banduan dan kepada Perintah Tetap Komisioner Jeneral dalam tempoh pemenjaraannya, sama ada dia berada dalam kawasan penjara atau tidak; dan
(c) semasa berada dalam jagaan atau di bawah kawalan seseorang pegawai penjara—
(i) apabila dibawa ke penjara atau dari penjara;
(ii) bilamana dia sedang bekerja di luar penjara; atau
(iii) selainnya berada di luar batasan penjara,
hendaklah disifatkan berada dalam penjara dan hendaklah tertakluk kepada semua keadaan yang sama seolah-olah dia sebenarnya berada dalam penjara.
(2) Jika seseorang banduan telah melarikan diri daripada jagaan sah, tempoh semasa bebas itu tidaklah dikira sebagai sebahagian hukuman yang sedang dijalani pada masa dia melarikan diri.
23Penjara
Penyerahan orang yang ditahan secara waran
27. (1) Seseorang yang ditahan di bawah sesuatu waran atau sesuatu perintah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sivil atau jenayah hendaklah dibawa di hadapan mahkamah yang mengeluarkan waran atau perintah itu.
(2) Jika mahkamah di bawah subseksyen (1) tidak bersidang, orang itu hendaklah diserahkan kepada seorang Pegawai yang Menjaga bagi jagaan perantaraan.
(3) Pegawai yang Menjaga hendaklah menyebabkan orang itu dibawa di hadapan mahkamah itu pada persidangan yang berikutnya supaya orang itu boleh diuruskan mengikut undang-undang.
Penyerahan orang yang ditahan secara reman
28. (1) Seseorang yang dipertuduh dengan sesuatu jenayah atau kesalahan, dan yang direman kepada sesuatu penjara oleh mahkamah atau pihak berkuasa yang kompeten, hendaklah diserahkan kepada Pegawai yang Menjaga penjara bersama-sama dengan waran reman.
(2) Pegawai yang Menjaga hendaklah—
(a) menahan dan menyebabkan supaya diserahkan kepada mahkamah atau pihak berkuasa yang kompeten; atau
(b) membebaskan,
orang yang diserahkan di bawah subseksyen (1) mengikut terma waran itu.
Pegawai yang Menjaga hendaklah menahan orang yang dikomitkan
29. Seseorang Pegawai yang Menjaga hendaklah menempatkan dan menahan seseorang yang telah dikomitkan dengan sewajarnya ke dalam jagaannya oleh sesuatu mahkamah atau pihak berkuasa yang kompeten mengikut terma waran atau perintah yang dengannya orang itu telah dikomitkan atau sehingga orang itu dibebaskan mengikut perjalanan undang-undang yang sewajarnya.
24 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Pengemukaan di hadapan mahkamah
30. (1) Bilamana kehadiran seseorang banduan dikehendaki dalam sesuatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sivil atau jenayah, mahkamah itu boleh mengeluarkan suatu perintah dalam bentuk yang ditetapkan dialamatkan kepada Pegawai yang Menjaga yang menghendaki pengemukaan banduan itu pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam perintah itu.
(2) Apabila menerima perintah itu, Pegawai yang Menjaga hendaklah menyebabkan banduan yang dinamakan dalam perintah itu dibawa sebagaimana diarahkan dan hendaklah memberikannya jagaan yang selamat semasa dia tidak berada di penjara.
(3) Sekiranya sesuatu penangguhan mengenai perkara yang baginya kehadiran banduan itu adalah dikehendaki, mahkamah boleh, melalui pengendorsan pada perintah itu, menghendaki banduan itu dibawa semula pada masa dan tempat yang dinyatakan dalam perintah itu.
(4) Sesuatu perintah yang dikeluarkan dari Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi boleh ditandatangani oleh Pendaftar Mahkamah, dan jika dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah lain hendaklah ditandatangani oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pendaftar atau mana-mana lain pegawai pengetua mahkamah, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Kuasa Komisioner Jeneral memerintahkan pengemukaan dalam hal tertentu
31. (1) Komisioner Jeneral—
(a) boleh, setelah berpuas hati bahawa terdapat alasan yang munasabah yang menghendaki kehadiran seseorang banduan di mana-mana tempat di Malaysia; atau
(b) hendaklah, apabila kehadiran seseorang banduan dikehendaki bagi maksud apa-apa siasatan awam,
melalui perintah secara bertulis, mengarahkan supaya banduan itu dibawa ke tempat itu.
25Penjara
(2) Seseorang banduan yang dibawa dari sesuatu penjara di bawah subseksyen (1) hendaklah, semasa berada di luar penjara itu, ditempatkan dalam apa-apa jagaan sebagaimana yang diarahkan oleh Komisioner Jeneral, melalui perintah secara bertulis, dan semasa berada dalam jagaan itu hendaklah disifatkan berada dalam jagaan sah.
Pengalihan dan pemindahan banduan
32. (1) Komisioner Jeneral boleh, melalui perintah secara bertulis, mengalihkan atau memindahkan semua atau mana-mana banduan yang dikurung dalam sesuatu penjara ke mana-mana penjara lain.
(2) Tiada banduan yang dialihkan di bawah subseksyen (1) semasa berada dalam jagaan seseorang pegawai penjara disifatkan telah melarikan diri walaupun dia dibawa ke bidang kuasa yang berlainan atau ke tempat kurungan yang berlainan.
(3) Bagi maksud seksyen ini, adalah tidak perlu untuk mengenal pasti seseorang banduan melalui nama dalam perintah itu, tetapi adalah mencukupi untuk memperihalkan banduan itu dengan menyebut kerakyatan atau hukumannya atau dengan apa-apa perihalan am lain yang serupa.
Pemindahan banduan yang dijatuhkan hukuman mati
33. Seseorang banduan yang dijatuhkan hukuman mati yang telah diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di- Pertua Negeri supaya dijalankan boleh, melalui perintah Komisioner Jeneral, dipindahkan ke mana-mana penjara lain, untuk menjalani hukumannya di sana.
Perintah berhubungan dengan banduan yang dipindahkan
34. Sesuatu perintah berhubungan dengan hukuman seseorang banduan yang dipindahkan di bawah seksyen 32 atau 33 hendaklah berkuat kuasa seolah-olah perintah itu telah diarahkan kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang kepadanya banduan itu dihantar.
26 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Keterangan
35. (1) Sesuatu perintah atau waran yang dibuat atau dikeluarkan oleh Menteri atau Komisioner Jeneral menurut Akta ini hendaklah—
(a) diterima sebagai keterangan dalam semua mahkamah tanpa bukti selanjutnya; dan
(b) menjadi keterangan bagi fakta yang dinyatakan dalamnya.
(2) Sesuatu tindakan yang dilakukan menurut sesuatu perintah atau waran yang dibuat atau dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan telah dibenarkan oleh undang-undang.
Banduan celaru mental
36. (1) Jika seseorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan atau yang dijatuhkan hukuman mati didapati celaru mental oleh Komisioner Jeneral atas pengesahan Pegawai Perubatan, Komisioner Jeneral hendaklah, melalui perintah secara bertulis, mengarahkan supaya banduan itu dialihkan, ditempatkan dan dirawat di sesuatu hospital mental atau tempat jagaan selamat lain yang sesuai di Malaysia dan ditempatkan di situ dan dirawat sebagaimana yang diarahkan oleh Komisioner Jeneral.
(2) Sesuatu perintah yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah menjadi suatu kuasa bagi penerimaan banduan itu dan bagi penahanannya di hospital mental atau di tempat lain yang sesuai di Malaysia sehingga dialihkan atau dibebaskan sebagaimana diperuntukkan kemudian daripada ini.
(3) Jika seseorang banduan yang ditahan di hospital mental di bawah subseksyen (1) adalah, pada pendapat pegawai perubatan hospital mental itu, tidak lagi celaru mental, pegawai perubatan itu hendaklah melaporkan dengan sewajarnya kepada Komisioner Jeneral.
(4) Apabila menerima laporan itu, Komisioner Jeneral hendaklah, melalui perintah secara bertulis—
(a) mengarahkan pemulangan banduan itu ke penjara yang darinya dia telah dialihkan atau ke mana-mana penjara lain jika tempoh pemenjaraannya belum habis; atau
27Penjara
(b) mengarahkan supaya banduan itu dibebaskan jika tempoh pemenjaraannya telah habis.
(5) Jika seseorang banduan yang ditahan di bawah subseksyen (1) adalah, pada pendapat pegawai perubatan hospital mental itu, masih lagi celaru mental dan tempoh pemenjaraan yang baginya banduan itu ditahan telah habis— (a) dalam hal *Semenanjung Malaysia, seksyen 46 Ordinan
Kecelaruan Mental 1952 hendaklah terpakai bagi banduan itu seolah-olah dia telah ditahan mengikut suatu perakuan yang diberi di bawah seksyen 42 Ordinan itu;
(b) dalam hal Wilayah Persekutuan Labuan, sebagaimana perlu, apa-apa peruntukan Ordinan Kecelaruan Mental 1952 sebagaimana yang diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Labuan oleh Yang di-Pertuan Agong, hendaklah terpakai;
(c) dalam hal Sabah, subseksyen 70(4) hingga (14) Ordinan Penjara 1956 [Sabah Ord. 7 tahun 1956] hendaklah terpakai; dan
(d) dalam hal Sarawak, subseksyen 34(4) hingga (14) Ordinan Penjara [Sarawak Bab 24] hendaklah terpakai.
(6) Masa yang diambil dalam melaksanakan apa-apa pengalihan di bawah seksyen ini dan tempoh semasa banduan itu ditahan di hospital mental hendaklah dikira sebagai sebahagian dari tempoh pemenjaraan itu.
Banduan yang sakit
37. (1) Dalam hal di mana seseorang banduan yang dikurung dalam penjara mengalami sakit yang serius yang penjara itu tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi bagi rawatan banduan itu, Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara terkanan selepasnya yang bertugas, boleh, atas perakuan seorang Pegawai Perubatan, membuat suatu perintah bagi pengalihan banduan itu ke sesuatu hospital kerajaan.
(2) Jika Pegawai Perubatan tidak ada untuk mengeluarkan perakuan bagi maksud subseksyen (1), Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara yang terkanan selepasnya yang bertugas, boleh membuat suatu perintah bagi pengalihan banduan itu ke sesuatu hospital kerajaan, tanpa perakuan seorang Pegawai Perubatan. CATATAN—Segala sebutan tentang “Malaysia Barat” hendaklah disifatkan sebagai sebutan tentang “Semenanjung Malaysia”–lihat Akta Tafsiran (Pindaan) 1997 [Akta A996], subseksyen 5(2).
28 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(3) Jika pada pendapat pegawai perubatan sesuatu hospital kerajaan bahawa adalah perlu bagi seseorang banduan yang dialihkan ke hospital kerajaan di bawah subseksyen (1) atau (2) untuk dimasukkan dan terus berada di hospital kerajaan itu, pegawai perubatan hospital kerajaan itu hendaklah menghantar suatu perakuan yang menyatakan hakikat itu kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang darinya banduan itu telah dialihkan—
(a) semasa banduan itu dimasukkan ke hospital kerajaan itu; dan
(b) semasa banduan itu dibenarkan keluar dari hospital kerajaan itu.
Pemulangan ke penjara
38. (1) Jika seseorang banduan yang dialihkan ke hospital di bawah seksyen 37 adalah, pada pendapat pegawai perubatan hospital itu, tidak lagi perlu untuk terus berada di hospital itu, maka pegawai perubatan itu hendaklah menghantar suatu perakuan yang menyatakan fakta itu kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang darinya banduan itu telah dialihkan.
(2) Apabila menerima perakuan yang tersebut dalam subseksyen (1), Pegawai yang Menjaga hendaklah menyebabkan banduan itu dibawa balik ke penjara, jika dia masih lagi kena dikurung dalam penjara itu.
Tanggungan kerana melarikan diri
39. Jika seseorang banduan melarikan diri semasa dia berada di sesuatu hospital, tiada pegawai penjara boleh dipertanggungkan dengan kelarian itu melainkan jika banduan itu telah ditempatkan dengan khusus dalam jagaan pegawai penjara itu.
Tugas untuk membantu dalam mencegah kelarian
40. (1) Adalah menjadi tugas pegawai perubatan hospital di mana seseorang banduan telah dialihkan di bawah seksyen 37 supaya memberi segala bantuan bagi memastikan bahawa langkah berjaga-jaga yang perlu bagi mencegah kelarian banduan yang menjalani rawatan di hospital itu telah diambil.
29Penjara
(2) Adalah sah bagi pegawai perubatan dalam subseksyen (1) untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu untuk mencegah banduan daripada melarikan diri:
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa langkah bagi mencegah seseorang banduan daripada melarikan diri boleh diambil yang, pada pendapat pegawai perubatan, berkemungkinan akan memudaratkan kesihatan banduan itu.
Jagaan khas dalam hospital
41. Jika disebabkan beratnya kesalahan yang kerananya banduan boleh berada dalam jagaan atau kerana apa-apa sebab lain, Pegawai yang Menjaga berpendapat adalah wajar untuk mengambil langkah-langkah khas bagi keselamatan seseorang banduan semasa menjalani rawatan dalam sesuatu hospital, Pegawai yang Menjaga boleh, sekiranya tidak ada pegawai penjara, menempatkan banduan itu dalam jagaan dua orang atau lebih daripada dua orang yang layak dan sesuai, seorang daripadanya hendaklah berada dengan banduan pada setiap masa—
(a) yang hendaklah diletakhakkan dengan kuasa dan kewenangan penuh untuk melakukan semua perkara yang perlu untuk mencegah banduan itu daripada melarikan diri; dan
(b) yang adalah bertanggungjawab bagi jagaan selamat banduan itu—
(i) sehingga masa banduan itu diserahkan kepada seorang pegawai penjara apabila dia dibenarkan keluar dari hospital itu; atau
(ii) sehingga masa apabila tempoh pemenjaraan banduan itu habis,
mengikut mana-mana yang berlaku dahulu.
Vesel pengalihan
42. (1) Jika perlu bagi maksud Bahagian ini untuk mengalihkan mana-mana banduan ke luar Malaysia melalui laut atau melalui udara, dia hendaklah dialihkan melalui vesel atau pesawat udara yang ditetapkan bagi maksud itu oleh Komisioner Jeneral.
30 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(2) Masa yang diambil dalam melaksanakan apa-apa pengalihan hendaklah dikira sebagai sebahagian daripada tempoh pemenjaraan itu.
Pelepasan banduan secara lesen
43. (1) Tertakluk kepada mana-mana peraturan yang dibuat oleh Menteri, Komisioner Jeneral boleh, pada bila-bila masa jika difikirkannya patut, melepaskan secara lesen dan atas apa- apa syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam lesen, seseorang banduan yang sedang menjalani apa-apa tempoh pemenjaraan.
(2) Komisioner Jeneral boleh, pada bila-bila masa—
(a) mengubah suai atau membatalkan syarat yang tersebut dalam subseksyen (1); atau
(b) melalui perintah, memanggil balik ke penjara seseorang banduan yang dilepaskan secara lesen di bawah subseksyen (1) tetapi tanpa menjejaskan kuasa Komisioner Jeneral untuk melepaskan semula banduan itu secara lesen.
(3) Jika seseorang banduan dipanggil balik di bawah perenggan (2)(b), lesennya hendaklah terhenti berkuat kuasa dan dia hendaklah, jika masih bebas, disifatkan bebas dengan menyalahi undang- undang dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(4) Seseorang banduan yang tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikeluarkan kepadanya di bawah subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Peremitan hukuman
44. (1) Dengan tujuan untuk menggalakkan kelakuan baik dan kerajinan dan untuk memudahkan pemerlakuan pemulihan, seseorang banduan yang dihukum penjara selama lebih daripada sebulan, adalah berhak diberi remitan daripada hukumannya.
31Penjara
(2) Semua atau mana-mana bahagian remitan yang seseorang banduan berhak boleh, apabila melakukan sesuatu kesalahan di bawah seksyen 50 atau sesuatu kesalahan yang berhubungan dengan parol, dibatalkan oleh Komisioner Jeneral:
Dengan syarat bahawa tidak dalam mana-mana kes pun perlucuthakan boleh melebihi amaun remitan yang diperoleh pada masa berlakunya kesalahan itu.
(3) Komisioner Jeneral boleh memulangkan kepada seseorang banduan semua atau mana-mana bahagian remitan yang telah dilucut hak semasa menjalani hukumannya.
(4) Seseorang banduan yang diberikan remitan sebahagian daripada hukumannya hendaklah dibebaskan apabila habisnya tempoh sekian banyak hukumannya yang tinggal selepas dipotong bahagian yang diremitkan daripada hukuman itu.
Pembebasan banduan
45. (1) Seseorang Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara yang terkanan selepasnya yang bertugas, hendaklah bertanggungjawab bagi pembebasan banduan yang sewajarnya sebaik sahaja dia menjadi berhak untuk dibebaskan, sama ada kerana—
(a) habisnya tempoh hukumannya;
(b) pembayaran denda;
(c) pengampunan;
(d) peringanan hukuman; atau
(e) remitan hukuman.
(2) Tertakluk kepada kelulusan Komisioner Jeneral dan atas perbelanjaan Kerajaan, seseorang banduan yang dibebaskan sewajarnya daripada penjara mengikut seksyen ini boleh dipulangkan ke tempat di mana banduan itu lazimnya tinggal.
Kuasa kecualian Mahkamah Tinggi
46. Tiada apa-apa dalam Akta ini boleh dikira sebagai mengurangkan atau menyentuh kuasa Hakim Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan
32 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
orang yang dikurung dalam mana-mana penjara di bawa ke hadapan Mahkamah di bawah peruntukan Bab XXXVI Kanun Tatacara Jenayah.
*BAHAGIAN IVA
PAROL
Tafsiran bagi maksud Bahagian IVA
46A. Bagi maksud Bahagian ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
(a) “daerah parol” ertinya daerah parol sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri;
(b) “Lembaga Parol” ertinya Lembaga Parol yang ditubuhkan di bawah seksyen 46B;
(C) “orang diparol” ertinya seseorang banduan yang dilepaskan atas suatu Perintah Parol;
(d) “parol” ertinya pelepasan seseorang banduan untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol;
(e) “pegawai parol” ertinya mana-mana pegawai penjara yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor Penjara yang ditugaskan untuk melaksanakan apa-apa tugas yang ditetapkan di bawah Bahagian ini;
(f) “Pengerusi Lembaga Parol” ertinya Pengerusi Lembaga Parol yang dilantik di bawah perenggan 46B(2)(a); dan
(g) “Perintah Parol” ertinya perintah pelepasan secara parol yang dibuat oleh suatu Lembaga Parol.
Penubuhan Lembaga Parol
46B. (1) Maka hendaklah ditubuhkan sekian bilangan Lembaga Parol untuk menjalankan semua kuasa, menunaikan semua tugas
*CATATAN—Seseorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan pada tarikh permulaan kuat kuasa Akta Penjara (Pindaan) 2008 [Akta A1332] adalah layak untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol–lihat seksyen 14 Akta A1332 dan P.U. (B) 260/2008.
33Penjara
dan melaksanakan semua fungsi sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta ini.
(2) Sesuatu Lembaga Parol hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong:
(a) seorang Pengerusi, daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan;
(b) seorang pegawai kanan penjara;
(c) seorang pegawai kanan polis;
(d) seorang pegawai kanan kebajikan; dan
(e) tiga orang awam.
(3) Setiap anggota hendaklah memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun dan layak untuk dilantik semula.
(4) Pelantikan mana-mana anggota sesuatu Lembaga Parol boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa alasan baginya.
(5) Seseorang anggota sesuatu Lembaga Parol boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui suatu notis bertulis yang ditujukan kepada Yang di-Petuan Agong.
(6) Sesuatu Lembaga Parol hendaklah bersidang sebagaimana dan apabila perlu pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang hendaklah diputuskan oleh Pengerusi Lembaga Parol.
(7) Kuorum suatu persidangan sesuatu Lembaga Parol adalah lima anggota termasuk Pengerusi Lembaga Parol itu.
(8) Tiap-tiap anggota yang hadir pada suatu persidangan sesuatu Lembaga Parol berhak kepada satu undi dan apa-apa keputusan Lembaga Parol hendaklah ditentukan melalui undi majoriti.
(9) Jika berlaku persamaan undi, Pengerusi Lembaga Parol hendaklah mempunyai undi pemutus, sebagai tambahan kepada undi biasanya.
(10) Tertakluk kepada Akta ini dan apa-apa arahan Menteri sesuatu Lembaga Parol boleh mengawal selia tatacaranya sendiri.
34 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Kuasa Lembaga Parol
46C. (1) Dengan tujuan untuk menggalakkan kelakuan baik dan kerajinan dan untuk memudahkan pemerlakuan pemulihan seseorang banduan, sesuatu Lembaga Parol hendaklah mempunyai kuasa yang berikut:
(a) untuk membuat keputusan sama ada untuk melepaskan secara parol seseorang banduan yang memohon parol;
(b) untuk menggantung atau membatalkan sesuatu Perintah Parol;
(c) untuk menambah apa-apa syarat atau mengubah mana- mana syarat sesuatu Perintah Parol;
(d) untuk mengadakan suatu siasatan berkenaan dengan apa- apa perkara yang berkaitan dengan parol;
(e) untuk memeriksa mana-mana banduan bagi maksud untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan dengan sesuatu permohonan parol atau bagi apa-apa sebab lain yang difikirkan patut oleh Lembaga Parol; dan
(f) untuk menjalankan dan melaksanakan apa-apa fungsi dan tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
(2) Sesuatu Lembaga Parol boleh menubuhkan urus setia sebagaimana yang difikirkan perlu olehnya dan suai manfaat untuk membantunya dalam pelaksanaan fungsi dan tugasnya dan menjalankan kuasanya di bawah Akta ini.
Orang diparol tertakluk kepada Bahagian ini
46D. Walau apa pun seksyen 29, suatu Perintah Parol boleh dikeluarkan kepada mana-mana banduan yang layak untuk mendapat parol yang telah dikomitkan ke dalam jagaan seseorang Pegawai yang Menjaga di bawah seksyen itu dan jika apa-apa Perintah Parol dikeluarkan, banduan itu adalah tertakluk kepada dan hendaklah diuruskan di bawah Bahagian ini.
Layak untuk mendapat parol
46E. (1) Seseorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan bagi mana-mana kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat tidak layak untuk mendapat parol.
35Penjara
(2) Menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual Keempat.
(3) Tertakluk kepada subseksyen (4), (5) dan (6), seseorang banduan hanya layak untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol—
(a) jika dia dihukum minimum satu tahun pemenjaraan bagi apa-apa kesalahan selain kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat;
(b) tertakluk kepada subseksyen (7), selepas dia menjalani sekurang-kurangnya seperdua dari tempoh pemenjaraannya tanpa mengambil kira remitan hukuman yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 44; dan
(c) selepas dia menjalani program pemulihan yang diluluskan oleh Komisioner Jeneral semasa menjalani hukuman pemenjaraannya.
(4) Jika terdapat suatu pertuduhan terhadap mana-mana banduan bagi apa-apa kesalahan, selain kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat, yang belum selesai di dalam mana-mana mahkamah, banduan itu layak untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol hanya selepas keputusan muktamad dibuat terhadap pertuduhan yang belum selesai itu.
(5) Jika terdapat sesuatu rayuan yang berhubungan dengan apa-apa kesalahan, selain kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat, yang masih belum selesai di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan mana-mana banduan, banduan itu layak untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol hanya selepas keputusan muktamad dibuat terhadap rayuan yang belum selesai itu.
(6) Jika mana-mana banduan mempunyai hak untuk mendapat pengampunan yang berhubungan dengan apa-apa kesalahan, selain kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat, banduan itu layak untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol hanya—
(a) selepas kesnya telah terlebih dahulu dibawa ke hadapan suatu Lembaga Pengampunan, melainkan jika dia dibebaskan dengan ampun, tunda hukum atau lega hukum oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau
36 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(b) tertakluk kepada subseksyen (7), selepas dia menjalani sekurang-kurangnya seperdua dari tempoh pemenjaraannya tanpa mengambil kira remitan hukuman yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 44,
mengikut mana-mana yang terkemudian.
(7) Bagi maksud perenggan (3)(b) dan (6)(b)—
(a) berhubung dengan apa-apa tempoh pemenjaraan yang dijalani serentak, seperdua dari tempoh pemenjaraan ertinya seperdua dari tempoh pemenjaraan yang paling panjang yang dijalani serentak itu; dan
(b) berhubung dengan apa-apa tempoh pemenjaraan yang dijalani berturut-turut, seperdua dari tempoh pemenjaraan ertinya seperdua daripada jumlah keseluruhan tempoh pemenjaraan yang dijalani berturut-turut itu.
(8) Walaupun seseorang banduan telah diberikan remitan hukuman di bawah seksyen 44, ia tidak menyentuh kelayakan banduan itu untuk dipertimbangkan untuk mendapat parol.
Perkara untuk diambil kira oleh Lembaga Parol sebelum membuat Perintah
46F. Dalam memutuskan sama ada atau tidak untuk melepaskan mana-mana banduan secara parol, Lembaga Parol—
(a) hendaklah memeriksa dan menilai dosir parol yang diterima daripada pegawai penjara berkenaan dengan banduan itu dan apa-apa laporan lain yang disediakan oleh mana-mana pegawai penjara berhubung dengan sesuatu permohonan bagi pelepasan secara parol banduan itu; dan
(b) hendaklah mengambil kira perkara yang berikut:
(i) keperluan untuk melindungi keselamatan masyarakat;
(ii) keperluan untuk mengekalkan keyakinan orang awam dalam pentadbiran keadilan;
(iii) sifat dan hal keadaan kesalahan yang berhubungan dengan hukuman ke atas banduan itu;
(iv) rekod jenayah banduan itu;
37Penjara
(v) risiko banduan melakukan lagi apa-apa kesalahan jika dia dilepaskan secara parol;
(vi) banduan boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat biasa;
(vii) kesan yang mungkin ke atas mangsa banduan dan keluarga mangsa, jika banduan itu dilepaskan secara parol;
(viii) dalam hal banduan asing, kewujudan sistem parol atau sistem lain yang serupa di negaranya; dan
(ix) apa-apa perkara lain sebagaimana yang didapati relevan oleh Lembaga Parol.
Prosiding di hadapan Lembaga Parol
46G. (1) Jika sesuatu Lembaga Parol mendapati bahawa kehadiran seseorang banduan yang memohon parol adalah perlu, Lembaga Parol boleh menyampaikan suatu notis kepada banduan itu supaya hadir di hadapan Lembaga Parol pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam notis itu.
(2) Pegawai penjara hendaklah membuat urusan yang perlu untuk menentukan kehadiran banduan itu di hadapan Lembaga Parol itu.
(3) Jika banduan itu tidak dapat hadir di hadapan sesuatu Lembaga Parol, kerana sakit atau menghadiri apa-apa prosiding mahkamah atau apa-apa alasan lain yang munasabah, dia boleh menyerahkan representasi bertulis kepada Lembaga Parol.
(4) Semua prosiding di hadapan Lembaga Parol di bawah seksyen ini hendaklah dijalankan secara tertutup dan tiada perwakilan undang-undang bagi pihak banduan dibenarkan.
Keputusan Lembaga Parol
46H. (1) Jika sesuatu Lembaga Parol membuat suatu keputusan untuk tidak melepaskan seseorang banduan secara parol, Lembaga Parol hendaklah memaklumkan keputusan itu secara bertulis—
(a) kepada Komisioner Jeneral;
38 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(b) kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang di dalamnya banduan itu menjalani hukuman pemenjaraannya; dan
(c) kepada banduan yang berkenaan.
(2) Seseorang banduan boleh memohon semula untuk mendapat parol enam bulan selepas tarikh keputusan sesuatu Lembaga Parol untuk tidak melepaskannya secara parol.
(3) Jika sesuatu Lembaga Parol membuat keputusan untuk melepaskan seseorang banduan secara parol, Lembaga Parol hendaklah mengeluarkan suatu Perintah Parol yang menyatakan tarikh pelepasan secara parol dan daerah parol tempat di mana orang diparol akan menjalani parol tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga Parol.
(4) Suatu salinan Perintah Parol hendaklah disampaikan kepada— (a) Komisioner Jeneral; (b) Pegawai yang Menjaga penjara yang di dalamnya orang
diparol menjalani hukuman pemenjaraannya sebaik sebelum tarikh Perintah Parol;
(c) pegawai parol yang bertanggungjawab terhadap daerah parol tempat di mana orang diparol akan menjalani parol; dan
(d) orang diparol yang berkenaan.
Banduan menjalani parol disifatkan terus menjalani hukuman
46I. (1) Seseorang orang diparol disifatkan menjalani hukuman pemenjaraannya semasa tempoh parol— (a) yang bermula pada tarikh pelepasan secara parol yang
dinyatakan dalam Perintah Parol; dan (b) yang berakhir apabila habis hukuman pemenjaraannya
dengan mengambil kira sekian banyak hukumannya yang tinggal selepas dipotong daripada hukumannya mana- mana bahagian remitan hukuman yang diberikan, atau apabila Perintah Parol digantung atau dibatalkan.
(2) Tempoh parol yang dinyatakan dalam subseksyen (1) hendaklah dikira sebagai sebahagian dari tempoh pemenjaraan itu.
39Penjara
Tugas pegawai parol
46J. (1) Orang diparol yang berkenaan dengannya suatu Perintah Parol telah dikeluarkan hendaklah dibawa oleh pegawai penjara ke tempat di mana orang diparol itu akan menjalani parol dan ditempatkan di bawah tanggungjawab seorang pegawai parol.
(2) Orang diparol hendaklah diletakkan di bawah jagaan dan pengawasan seorang pegawai parol sepanjang tempoh parol.
(3) Pada bila-bila masa apabila sesuatu waran atau perintah dikeluarkan oleh sesuatu mahkamah yang menghendaki pengemukaan orang diparol, atau apabila suatu perintah dikeluarkan oleh Komisioner Jeneral, yang menghendaki seseorang orang diparol hadir di mana-mana tempat di luar daerah parolnya, atas apa-apa alasan lain yang munasabah, yang memuaskan hati Komisioner Jeneral, hendaklah menjadi tugas seorang pegawai parol untuk menyebabkan supaya orang diparol yang dinamakan dalam waran atau perintah itu dibawa ke tempat sebagaimana yang diarahkan dan untuk menyediakan jagaan selamat bagi orang diparol itu.
(4) Seseorang pegawai parol hendaklah menyebabkan supaya disenggarakan suatu daftar yang berhubungan dengan orang diparol dalam daerah parolnya yang mengandungi apa-apa butiran dan dalam apa-apa bentuk sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
(5) Tertakluk kepada apa-apa peruntukan yang menyatakan sebaliknya, seseorang pegawai parol hendaklah menurut jawatannya semasa bertindak atas sifat yang demikian mempunyai semua kuasa, kewenangan, perlindungan dan keistimewaan seseorang pegawai polis.
Tanggungjawab orang diparol
46K. Hendaklah menjadi tanggungjawab orang diparol—
(a) untuk melaporkan diri kepada pegawai parol pada bila-bila masa dan apa-apa tarikh sebagaimana yang diarahkan oleh seseorang pegawai parol dari semasa ke semasa;
(b) untuk tinggal di tempat yang dinyatakan dalam Perintah Parol;
40 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(c) untuk mendapatkan kebenaran seseorang pegawai parol jika orang diparol itu hendak melawat tempat di luar daerah parol tempat di mana orang diparol itu sedang menjalani parolnya;
(d) untuk membuat pekerjaan yang telah diatur atau dipersetujui oleh pegawai parol;
(e) untuk mengikuti apa-apa program bagi pemulihannya sebagaimana yang dianjurkan atau diarahkan oleh seseorang pegawai parol;
(f) untuk mematuhi syarat Perintah Parol; dan (g) untuk mematuhi apa-apa syarat, perintah dan arahan lain
sebagaimana yang diberikan oleh Lembaga Parol atau pegawai parol.
Penukaran daerah parol
46L. (1) Sesuatu permohonan boleh dibuat oleh seseorang pegawai parol yang bertanggungjawab ke atas orang diparol atau oleh orang diparol kepada Lembaga Parol bagi suatu penukaran daerah parol orang diparol.
(2) Sesuatu Lembaga Parol boleh, apabila berpuas hati dengan alasan permohonan untuk menukar daerah parol, membenarkan permohonan itu tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang boleh dikenakan oleh Lembaga Parol dan mengeluarkan suatu notis tentang kebenaran itu. (3) Suatu salinan notis di bawah subseksyen (2) hendaklah disampaikan kepada— (a) Komisioner Jeneral; (b) Pegawai yang Menjaga penjara yang di dalamnya orang
diparol menjalani hukuman pemenjaraannya sebaik sebelum tarikh Perintah Parol;
(c) pegawai parol yang bertanggungjawab terhadap daerah parol bagi orang diparol sebaik sebelum penukaran daerah parol orang diparol itu;
(d) pegawai parol yang bertanggungjawab terhadap daerah parol tempat di mana orang diparol akan menjalani parol menurut penukaran daerah parol itu; dan
(e) orang diparol yang berkenaan.
41Penjara
Penggantungan dan pembatalan Perintah Parol
46M. (1) Jika seseorang pegawai parol mendapati bahawa seseorang orang diparol telah gagal untuk mematuhi mana-mana peruntukan seksyen 46K atau mana-mana syarat yang dinyatakan dalam sesuatu Perintah Parol, pegawai parol itu—
(a) hendaklah mengemukakan suatu laporan kepada Lembaga Parol melalui urus setianya; dan
(b) hendaklah menempatkan orang diparol itu dalam jagaan Pegawai yang Menjaga penjara yang terdekat.
(2) Sesuatu Lembaga Parol boleh menggantung sesuatu Perintah Parol—
(a) apabila menerima laporan daripada seseorang pegawai parol bahawa seseorang orang diparol telah gagal untuk mematuhi mana-mana peruntukan seksyen 46K atau mana- mana syarat yang dinyatakan dalam sesuatu Perintah Parol; atau
(b) jika Lembaga Parol itu mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Perintah Parol itu telah dikeluarkan atas maklumat palsu atau mengelirukan.
(3) Sesuatu Lembaga Parol boleh menyampaikan suatu notis ke atas orang diparol untuk hadir di hadapan Lembaga Parol itu bagi suatu siasatan dan orang diparol itu boleh membuat representasi kepada Lembaga Parol itu.
(4) Sesuatu Lembaga Parol hendaklah memeriksa dan menilai apa-apa laporan yang dikemukakan oleh seseorang pegawai parol berkenaan dengan orang diparol yang telah gagal untuk mematuhi mana-mana peruntukan seksyen 46K atau mana-mana syarat yang dinyatakan dalam sesuatu Perintah Parol, dan apa-apa representasi yang dibuat oleh orang diparol itu.
(5) Walau apa pun subseksyen (3) dan seksyen 52, sesuatu Lembaga Parol boleh membatalkan sesuatu Perintah Parol pada bila-bila masa, tanpa memberi orang diparol hak untuk membuat apa-apa representasi—
(a) jika orang diparol itu melakukan apa-apa kesalahan dan dipertuduh di mana-mana mahkamah bagi kesalahan itu; atau
42 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(b) jika orang diparol itu meninggalkan daerah parol tanpa kebenaran seseorang pegawai parol.
(6) Jika Lembaga Parol berpuas hati bahawa orang diparol itu telah gagal untuk mematuhi apa-apa peruntukan seksyen 46K atau mana-mana syarat yang dinyatakan dalam sesuatu Perintah Parol, Lembaga Parol boleh—
(a) mengenakan syarat lanjut ke atas Perintah Parol itu;
(b) mengubah syarat sedia ada Perintah Parol; atau
(c) membatalkan Perintah Parol itu.
Kesan pembatalan Perintah Parol
46N. (1) Jika sesuatu Perintah Parol dibatalkan, melainkan jika banduan yang dimaksudkan dalam Perintah Parol itu disifatkan bebas dengan menyalahi undang-undang di bawah subseksyen (3), banduan itu hendaklah diletakkan di bawah jagaan seorang pegawai parol dan hendaklah dihantar serah kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang terdekat bagi jagaan segera. (2) Pegawai yang Menjaga hendaklah secepat yang boleh dilaksanakan menyebabkan supaya banduan dalam subseksyen (1) dialihkan, dipindahkan atau dibawa ke penjara tempat di mana dia menjalani hukuman pemenjaraannya sebaik sebelum Perintah Parol dikeluarkan untuk menjalani baki hukumannya.
(3) Jika Perintah Parol dibatalkan menurut perenggan 46M(5) (b), dan jika orang diparol itu masih bebas, orang diparol itu hendaklah disifatkan bebas dengan menyalahi undang-undang dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
(4) Jika orang diparol yang telah disabitkan di bawah subseksyen (3) dihukum dengan pemenjaraan, pemenjaraan itu hendaklah bermula sama ada serta-merta atau apabila habisnya hukuman pemenjaraannya yang terdahulu, sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah yang mengenakan hukuman itu.
(5) Apabila sesuatu Perintah Parol dibatalkan, semua atau mana-mana bahagian remitan yang seseorang banduan itu berhak boleh dibatalkan oleh Komisioner Jeneral.
43Penjara
Tempoh semasa orang diparol bebas tidak dikira sebagai sebahagian daripada hukuman
46O. Jika seseorang orang diparol disifatkan bebas dengan menyalahi undang-undang, tempoh semasa bebas itu tidaklah dikira sebagai sebahagian dari tempoh hukuman pemenjaraan yang sedang dijalani pada masa dia sedang bebas.
BAHAGIAN V
PEKERJAAN DAN TATATERTIB PENJARA
Kesan hukuman pemenjaraan
47. (1) Seseorang banduan yang dijatuhkan atau yang akan dijatuhkan sesuatu hukuman pemenjaraan semasa tempoh hukumannya itu adalah tertakluk—
(a) untuk dipenjarakan, bergantung kepada dia dilepaskan secara parol; dan
(b) untuk menjalankan apa-apa kerja sebagaimana yang diarahkan oleh Pegawai yang Menjaga dan, setakat yang praktik, kerja itu hendaklah dijalankan—
(i) secara berkumpulan;
(ii) di luar sel;
(iii) di luar batasan penjara sebagaimana yang diluluskan oleh Komisioner Jeneral.
(2) Pegawai Perubatan boleh memperakui seseorang banduan sebagai—
(a) tidak sihat dan mengesyorkan supaya banduan itu dikecualikan daripada kerja; atau
(b) sihat hanya untuk melaksanakan kerja ringan.
(3) Seseorang banduan di bawah subseksyen (2) hendaklah hanya dikehendaki menjalankan apa-apa kerja yang ditetapkan sebagai kerja ringan.
44 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Skim bagi banduan untuk melibatkan diri dalam pekerjaan
48. (1) Bagi maksud membolehkan banduan, selain banduan yang disebut dalam seksyen 49, untuk mengambil pekerjaan yang menguntungkan semasa mereka sedang menjalani hukuman mereka, Menteri boleh memperkenalkan sesuatu skim dan banduan itu boleh atas pilihan mereka sendiri mengambil bahagian dalam skim itu.
(2) Seseorang banduan yang mengambil pekerjaan di bawah skim yang disebut dalam subseksyen (1)—
(a) boleh, walau apa pun perintah yang dibuat oleh sesuatu mahkamah bagi pengkomitan banduan itu, di bawa ke luar batasan penjara setiap hari untuk melaksanakan kerja; dan
(b) hendaklah, pada setiap masa disifatkan berada dalam penjara dan tertakluk kepada semua keadaan yang sama seolah-olah dia sebenarnya berada dalam penjara.
Pengasingan banduan
49. (1) Seseorang banduan—
(a) yang dikurung di bawah proses sivil;
(b) yang ditahan secara reman yang dituduh melakukan sesuatu jenayah atau kesalahan;
(c) yang dikomitkan untuk dibicarakan; atau
(d) yang dikurung kerana tiada penjamin,
lazimnya tidak boleh dicampurkan dengan banduan yang menjalani hukuman penjara atau dikehendaki bekerja lebih daripada apa-apa kerja semunasabahnya patut bagi menjaga diri dan pakaiannya dalam keadaan yang sempurna dan menjaga tempat yang dianya dikurung itu bersih.
(2) Jika seseorang banduan di bawah subseksyen (1) memilih untuk bekerja semasa tempoh dia dikurung, dia hendaklah menerima pembayaran bagi pekerjaan itu mengikut apa-apa kadar yang boleh ditetapkan dari semasa ke semasa.
45Penjara
(3) Seseorang banduan muda hendaklah, setakat yang dibenarkan oleh keadaan tempatan, ditempatkan berasingan daripada orang dewasa dalam tahanan.
(4) Jika Pegawai yang Menjaga mendapati bahawa adalah wajar bagi seseorang banduan itu diasingkan untuk mengekalkan keadaan dan tatatertib yang baik bagi sesuatu penjara atau kerana apa-apa sebab lain, maka adalah sah bagi pegawai itu memerintahkan banduan itu diasingkan selama apa-apa tempoh yang difikirkannya perlu.
Hukuman bagi kesalahan penjara oleh Pegawai yang Menjaga
50. (1) Seseorang Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara terkanan selepasnya yang telah diberi kuasa oleh Pegawai yang Menjaga, boleh menghukum seseorang banduan yang didapati bersalah melakukan kesalahan kecil penjara selepas menjalankan siasatan sewajarnya dengan memerintahkannya menjalani satu atau lebih daripada hukuman yang berikut:
(a) celaan;
(b) pengurangan peringkat;
(c) penangguhan kenaikan peringkat;
(d) perlucuthakan keistimewaan;
(e) penyingkiran daripada skim pendapatan;
(f) pengurangan gred pendapatannya;
(g) perlucuthakan remitan tidak melebihi apa-apa amaun yang ditetapkan;
(h) pengurungan berasingan dalam sel dengan diet terhad yang ditetapkan selama suatu tempoh tidak melebihi apa-apa tempoh yang ditetapkan.
(2) Hukuman yang disebut di perenggan 1(b) hingga (f) hendaklah bagi apa-apa tempoh yang ditetapkan.
46 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(3) Jika seseorang Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara terkanan selepasnya yang telah diberi kuasa oleh Pegawai yang Menjaga itu, mendapati seseorang banduan itu bersalah melakukan kesalahan besar penjara selepas menjalankan siasatan sewajarnya, maka Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, pegawai penjara terkanan selepasnya yang telah diberi kuasa oleh Pegawai yang Menjaga itu, boleh menghukum banduan itu dengan memerintahkannya menjalani satu atau lebih hukuman yang disenaraikan dalam subseksyen (1) atau sebagai tambahan kepada atau sebagai ganti baginya, mengenakan hukuman sebat dengan rotan, tidak melebihi sekian bilangan sebatan yang ditetapkan:
Dengan syarat bahawa apa-apa hukuman sebat yang diperintahkan hendaklah tertakluk kepada pengesahan oleh Menteri.
Daftar hukuman
51. Pegawai yang Menjaga hendaklah mencatatkan dalam suatu daftar yang hendaklah dibuka bagi pemeriksaan Hakim Pelawat suatu rekod hukuman yang dikenakan olehnya ke atas banduan yang menunjukkan, berkenaan dengan setiap banduan yang dihukum, nama banduan itu, jenis kesalahannya dan takat hukumannya.
Banduan boleh membuat pembelaannya
52. Tiada banduan boleh dihukum sehinggalah dia telah diberi peluang—
(a) untuk mendengar tuduhan atau aduan terhadapnya dan keterangan yang menyokong tuduhan atau aduan itu; dan
(b) untuk membuat pembelaannya dan untuk meminta memberi keterangan bagi menyokong pembelaan itu.
Pendakwaan bagi kesalahan
53. Tiada apa-apa dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai mengecualikan mana-mana banduan daripada tindakan yang diambil terhadap apa-apa kesalahan melalui penjalanan biasa undang-undang, tetapi tiada banduan boleh dihukum dua kali bagi kesalahan yang sama.
47Penjara
BAHAGIAN VI
KESALAHAN
Kesalahan mengenai perbekalan penjara
54. (1) Tiada seorang pun pegawai penjara, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian atau kakitangan yang diambil kerja oleh jabatan penjara boleh—
(a) secara langsung atau tidak langsung mempunyai apa-apa kepentingan kewangan dalam pembelian perbekalan penjara;
(b) menerima atau mempunyai apa-apa urusan kewangan dengan banduan atau kawan banduan mengenai apa-apa diskaun, hadiah atau balasan lain daripada kontraktor, atau penjual, perbekalan penjara;
(c) menjual atau membekalkan mana-mana artikel untuk atau bagi kegunaan seseorang banduan atau sesuatu penjara;
(d) menerima secara langsung atau tidak langsung—
(i) apa-apa keuntungan atau faedah daripada penjualan atau pembekalan; atau
(ii) apa-apa kepentingan dalam mana-mana kontrak atau perjanjian bagi penjualan atau pembekalan,
mana-mana artikel untuk atau bagi kegunaan seseorang banduan atau sesuatu penjara.
(2) Tiada seorang pun pegawai penjara, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian atau kakitangan yang diambil kerja oleh jabatan penjara boleh membuat apa-apa perhubungan yang tidak dibenarkan dengan seseorang bagi apa-apa maksud dalam subseksyen (1).
(3) Seseorang yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(4) Dalam seksyen ini rujukan kepada menjual atau membekal termasuklah masing-masingnya rujukan kepada menawarkan untuk jualan atau menawarkan untuk membekalkan dan juga memberi sewa dan menawarkan untuk memberi sewa.
48 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Pembayaran wang dilarang
55. (1) Tiada wang atau balasan lain boleh, atas apa-apa jua pun alasan, kena dibayar, dibayar, diberi atau dijanjikan, kepada seseorang pegawai penjara, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian atau kakitangan yang diambil kerja oleh jabatan penjara, oleh atau bagi pihak seseorang banduan, sama ada pada masa dia—
(a) dimasukkan ke dalam;
(b) dikomitkan ke;
(c) terus berada dalam;
(ca) dilepaskan secara parol dari; atau
(d) dibebaskan dari,
sesuatu penjara.
(2) Seseorang pegawai penjara, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian atau kakitangan yang diambil kerja oleh jabatan penjara, yang menerima atau meminta dari atau bagi pihak seseorang banduan—
(a) apa-apa wang atau balasan lain;
(b) janji mengenai wang atau balasan lain;
(c) menjalankan apa-apa perkhidmatan sebagai balasan untuk menerima atau dijanjikan wang atau balasan lain,
bagi apa-apa maksud yang disebutkan dalam subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda sebanyak sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Penyerahan pakaian seragam, dsb., semasa berhenti
56. (1) Seseorang, apabila berhenti daripada menjadi seorang pegawai penjara, hendaklah dengan serta-merta menyerahkan kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang dia berkhidmat pada masa dia berhenti sebagai seorang pegawai penjara, tiap-tiap artikel pakaian seragam, pakaian dan segala senjata, pelengkapan dan tiap-tiap jenis barang lain kepunyaan Kerajaan.
49Penjara
(2) Seseorang pegawai penjara yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan—
(a) didenda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan selama suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya; dan
(b) sebagai tambahan, bolehlah dipertanggungkan untuk membayar nilai mana-mana artikel yang tidak diserahkan, yang nilainya hendaklah didapatkan semula seolah-olah ia adalah suatu denda.
Pemilikan, penjualan atau pembekalan artikel yang dibekalkan kepada pegawai penjara, dsb., yang menyalahi undang- undang
57. (1) Seseorang, yang bukannya seorang pegawai penjara, yang—
(a) tanpa kebenaran yang sah, membeli atau menerima atau didapati memiliki dan yang gagal menjelaskan dengan memuaskan akan milikannya—
(i) sesuatu yang telah dibekalkan kepada seseorang pegawai penjara bagi pelaksanaan tugasnya; atau
(ii) sesuatu pingat atau bintang yang diberi kepada seseorang pegawai penjara bagi perkhidmatan atau kelakuan baik;
(b) tanpa kebenaran yang sah, mengilang, menjual, membekalkan, menawarkan untuk menjual atau membekal sesuatu faksimile yang elok bagi—
(i) sesuatu lencana atau peranti yang digunakan untuk menunjukkan bahawa seseorang itu ialah seorang pegawai penjara atau menunjukkan pangkat seseorang pegawai penjara; atau
(ii) sesuatu pingat atau bintang yang diberi kepada seseorang pegawai penjara bagi perkhidmatan atau kelakuan baik;
50 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(c) dengan menyalahi undang-undang memakai, menggunakan atau mempamerkan selain semasa mengadakan pertunjukan pentas atau persembahan teater yang lain—
(i) pakaian seragam seorang pegawai penjara;
(ii) sesuatu lencana atau peranti untuk menunjukkan bahawa dia ialah seorang pegawai penjara; atau
(iii) pakaian yang menyerupai atau yang mempunyai tanda tertentu pakaian seragam seseorang pegawai penjara,
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
(2) Seseorang pegawai penjara yang menjual atau mendedahkan—
(a) apa-apa artikel yang telah dibekalkan kepadanya atau kepada mana-mana pegawai penjara bagi pelaksanaan tugas;
(b) apa-apa pingat atau bintang yang diberikan kepada seseorang pegawai penjara bagi perkhidmatan atau kelakuan baik,
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Penyeludupan artikel yang dilarang ke dalam penjara
58. (1) Seseorang yang menyeludupkan atau cuba untuk menyeludup sesuatu artikel yang dilarang ke dalam atau keluar dari sesuatu penjara melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi *sepuluh ribu ringgit atau *dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(2) Dalam seksyen ini, “artikel larangan” ertinya apa-apa dadah, wang atau arak dan termasuklah apa-apa alat atau artikel sebagaimana yang ditetapkan oleh Komisioner Jeneral dari semasa ke semasa.
*CATATAN—Sebelum ini “dua ribu ringgit” dan “dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan”–lihat seksyen 18 Akta Penjara (Pindaan) 2008 [Akta A1332].
51Penjara
Penalti am
59. Seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta yang baginya tiada penalti diperuntukkan dengan nyata hendaklah, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
BAHAGIAN VII
KUMPULAN WANG HADIAH PEGAWAI PENJARA
Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara
60. (1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu kumpulan wang yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara (kemudian daripada ini disebut Kumpulan Wang) yang hendaklah dikendalikan sebagai suatu Akaun Amanah dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
(2) Kumpulan Wang itu hendaklah terdiri daripada—
(a) segala emolumen yang dilucuthakkan oleh dan semua denda yang dikenakan ke atas pegawai penjara dalam apa-apa prosiding tatatertib;
(b) semua pemberian, derma, hadiah dan caruman yang dibuat untuk atau bagi Kumpulan Wang;
(c) semua wang atau harta lain yang boleh dalam apa-apa cara boleh dibayar kepada atau diletakhakan dalam Kumpulan Wang; dan
(d) semua wang—
(i) yang dirampas; atau
(ii) yang pemunyaannya t idak diketahui dan dijumpai,
semasa sesuatu penggeledahan dalam sesuatu penjara.
52 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Penggunaan Kumpulan Wang
61. Tertakluk kepada peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, Kumpulan Wang hendaklah digunakan bagi maksud—
(a) menghadiahkan pegawai penjara bagi tindakan daya usaha dan keazaman yang cemerlang atau bagi kemahiran dalam melaksanakan apa-apa tugas jabatan yang menghendaki kebijaksanaan atau kebolehan;
(b) menghadiahkan pegawai penjara bagi apa-apa tindakan keberanian yang patut dipuji yang kerananya nyawa telah diselamatkan atau harta telah terpelihara daripada kerugian atau kebinasaan;
(c) mendapatkan keselesaan, kemudahan dan faedah lain, yang tidak boleh dikenakan kepada hasil awam, bagi pegawai penjara, bekas pegawai penjara yang telah bersara secara pencen, ganjaran atau elaun atau orang yang pada keseluruhannya atau sebahagiannya bergantung kepada pegawai penjara yang telah meninggal dunia atau bekas pegawai penjara pada masa kematiannya; dan
(d) menghadiahkan mana-mana orang yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa bagi apa-apa tindakan keberanian yang cemerlang yang kerananya nyawa telah diselamatkan atau harta telah terpelihara daripada kerugian atau kebinasaan.
Pentadbiran Kumpulan Wang
62. (1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu Jawatankuasa Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang hendaklah mengelola Kumpulan Wang itu.
(2) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
(a) Komisioner Jeneral sebagai Pengerusi;
(b) dua orang Pegawai Kanan Penjara yang hendaklah dilantik oleh Menteri; dan
(c) dua orang pegawai awam yang hendaklah dilantik oleh Menteri.
53Penjara
(3) Tertakluk kepada peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, Jawatankuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk mengawal selia prosidingnya.
(4) Tiada seorang pun boleh menjalankan sesuatu aktiviti untuk memungut wang bagi Kumpulan Wang tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada Jawatankuasa.
(5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (4) melakukan suatu kesalahan.
BAHAGIAN VIIA
KADET PENJARA
Penubuhan Kadet Penjara
62A. Suatu badan yang dikenali sebagai Kadet Penjara hendaklah ditubuhkan bagi mana-mana kawasan di Malaysia, sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri, yang hendaklah terdiri daripada sekian bilangan pegawai kanan Kadet Penjara, pegawai rendah Kadet Penjara dan kadet.
Anggota Kadet Penjara
62B. Orang yang berikut boleh memohon untuk menyertai Kadet Penjara:
(a) mana-mana orang yang tidak berumur di bawah dua puluh satu tahun dan tidak lebih lima puluh tahun, dan yang bukan seorang anggota Jabatan Penjara Malaysia atau mana-mana pasukan yang ditubuhkan di bawah mana- mana undang-undang bertulis, yang memenuhi kriteria sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri;
(b) mana-mana orang yang merupakan seorang pelajar berdaftar mana-mana institusi latihan atau pendidikan yang mengikuti bidang pengajian atau pendidikan secara sepenuh masa atau separuh masa di institusi latihan atau pendidikan itu, sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri, setelah berunding dengan Menteri yang bertanggungjawab bagi institusi latihan atau pendidikan itu; dan
54 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(c) mana-mana murid dari mana-mana sekolah menengah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri setelah berunding dengan Menteri yang bertanggungjawab bagi pelajaran.
BAHAGIAN VIII
AM
Pegawai penjara tertakluk kepada peraturan-peraturan tatatertib
63. (1) Semua pegawai penjara hendaklah tertakluk kepada peraturan-peraturan berhubungan dengan tatatertib yang boleh dibuat dari semasa ke semasa oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.
(2) Bagi maksud seksyen ini, mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa hendaklah hanya berkuat kuasa dan berkesan setakat yang peraturan-peraturan itu tidak bercanggah dengan mana-mana peraturan yang disebut di bawah subseksyen (1).
Hakim Pelawat
*64. (1) Menteri hendaklah, bagi tiap-tiap dua tahun, melantik bagi setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan suatu Lembaga yang dikenali Lembaga Hakim Pelawat yang baginya mana-mana Majistret kanan setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan hendaklah menjadi anggota ex officio.
(2) Menteri boleh menentukan pembayaran elaun bagi anggota Lembaga Hakim Pelawat.
Tugas Hakim Pelawat
65. (1) Seseorang Hakim Pelawat boleh—
(a) pada bila-bila masa, melawat mana-mana penjara dalam Negeri atau Wilayah Persekutuan yang baginya dia dilantik;
*CATATAN—Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan, anggota Lembaga Hakim Pelawat yang memegang jawatan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa subseksyen (1) seksyen ini hendaklah terus memegang jawatan sehingga tamat tempoh pelantikan mereka–lihat subseksyen 21(2) Akta Penjara (Pindaan) 2008 [Akta A1332] dan P.U. (B) 260/2008.
55Penjara
(b) memeriksa wad, sel, halaman dan bilik dan bahagian lain penjara;
(c) memeriksa dan menguji kualiti dan kuantiti makanan banduan;
(d) mendengar aduan banduan, jika ada;
(e) menyoal mana-mana banduan atau pegawai penjara,
bagi maksud menentukan, setakat yang boleh, sama ada peruntukan Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta dan Perintah Tetap Komisioner Jeneral dipatuhi.
(2) Seseorang Hakim Pelawat hendaklah—
(a) membawa perhatian Pegawai yang Menjaga akan apa-apa luar aturan yang boleh diperhatikan mengenai—
(i) cara penjara berfungsi; atau
(ii) pemerlakuan mana-mana banduan yang dikurung dalam penjara; dan
(b) menjalankan dan melaksanakan apa-apa kuasa dan tugas lain yang ditetapkan.
(3) Lembaga Hakim Pelawat hendaklah melantik sekurang- kurangnya seorang tetapi tidak lebih daripada empat orang anggotanya melawat secara bergilir-gilir setiap penjara dalam Negeri atau Wilayah Persekutuan setiap bulan bagi tahun itu.
(4) Seseorang Hakim Pelawat hendaklah, bagi maksud Akta ini, mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mengendalikan sumpah.
Lawatan oleh Hakim, Majistret, dsb.
66. (1) Seseorang Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang mempunyai bidang kuasa di sesuatu tempat di mana sesuatu penjara terletak boleh, bilamana difikirkannya patut—
(a) memasuki dan memeriksa keadaan penjara dan banduan yang berada di dalamnya;
(b) menyoal mana-mana banduan atau pegawai penjara,
56 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
dan mencatatkan apa-apa pandangan yang difikirkannya patut diberikan mengenai keadaan penjara dan banduan dalam suatu Buku Pelawat.
(2) Sesuatu Buku Pelawat hendaklah disimpan bagi maksud subseksyen (1) oleh Pegawai yang Menjaga yang hendaklah dikemukakan kepada Hakim Pelawat pada lawatan mereka yang berikutnya.
Peraturan-peraturan
67. (1) Menteri boleh menyiarkan dalam Warta apa-apa peraturan yang perlu atau suai manfaat bagi pengurusan dan pengelolaan penjara yang baik, dan bagi menjalankan atau mencapai tujuan dan maksud Akta.
(2) Khususnya dan tanpa menjejaskan keluasan makna subseksyen (1), peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini boleh mengadakan peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:
(a) kuasa dan tugas orang yang diambil kerja dalam jabatan penjara;
(b) pemeriksaan dan pengurusan lokap, pegawai yang akan menjaga lokap, dan bagi pekerjaan, diet dan tatatertib orang yang dikurung dalam lokap;
(c) pemeriksaan perubatan, pengukuran, pengambilan gambar dan pengambilan kesan cap jari atau lain-lain rekod banduan termasuklah statistik diri dan sejarah peribadi yang terperinci, dan bagi menghendaki jawapan yang lengkap dan benar bagi semua soalan yang ditujukan kepada banduan dengan tujuan untuk mendapatkan statistik dan sejarah sedemikian;
(d) orang, jika ada, yang kepadanya ukuran, gambar, kesan cap jari atau rekod lain yang hendak dihantar atau dibekalkan;
(e) diet, pengkategorian, jagaan selamat, pengasingan, pemerlakuan dan tatatertib banduan;
(ea) layanan ke atas dan kesejahteraan anak yang dilahirkan oleh banduan semasa dalam jagaan dan anak seorang banduan perempuan yang diterima masuk bersama ibunya;
57Penjara
(f) pekerjaan banduan, termasuk peruntukan bagi kadar, kegunaan dan pengagihan pendapatan banduan;
(g) skim pekerjaan yang menguntungkan dan khususnya bagi—
(i) kategori banduan yang layak untuk mengambil pekerjaan di bawah skim itu;
(ii) terma dan syarat yang atasnya banduan dibenarkan mengambil pekerjaan di luar batasan sesuatu penjara;
(iii) terma dan syarat pekerjaan;
(iv) cara bagaimana upah hendak dibayar kepada banduan;
(v) perkadaran dan cara bagaimana upah yang didapati oleh banduan di bawah skim pekerjaan itu boleh disimpan oleh banduan;
(h) jenis kerja yang diperlukan pada setiap peringkat pemenjaraan bagi banduan dan cara bagaimana dan tempat di mana kerja itu diperlukan;
(i) pelupusan hasil kerja banduan selain hasil kerja dalam skim yang ditubuhkan di bawah perenggan 2(h);
(j) remitan hukuman yang hendak dibenarkan kepada banduan yang mematuhi dengan sewajarnya peraturan-peraturan yang kepadanya mereka tertakluk, dan syarat yang atasnya remitan itu akan dibuat;
(k) penubuhan persatuan membantu banduan dan bagi mensubsidikan kerja mereka dan menggunakan perkhidmatan mereka berkaitan dengan banduan yang dibebaskan atas percubaan dan banduan yang disabitkan yang hukuman mereka telah habis tempoh;
(l) pembekalan wang, makanan, pakaian atau kemudahan perjalanan kepada banduan apabila mereka dibebaskan;
(m) pentadbiran Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara;
(n) prosiding dan lawatan Hakim Pelawat;
(o) pengelasan kesalahan;
58 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
(p) tatacara bagi menjalankan siasatan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh banduan dan bagi perkara yang berhubungan dengannya;
(pa) pengurusan dan pelaksanaan parol;
(pb) tujuan dan pentadbiran Kadet Penjara; dan
(q) apa-apa perkara yang dikehendaki atau yang boleh ditetapkan di bawah Akta ini.
Peruntukan pemansuhan, kecualian dan peralihan
68. (1) Undang-undang yang tersebut dalam Jadual Kedua setakat mana yang dinyatakan dalamnya hendaklah dimansuhkan adalah dengan ini dimansuhkan dengan sewajarnya.
(2) Kecuali butiran 4 dalam Jadual Kedua, semua perundangan subsidiari, perintah, arahan dan notis yang dibuat atau diberikan dan apa-apa tindakan sah yang dibuat di bawah atau oleh sebab Ordinan yang dimansuhkan hendaklah, setakat mana yang perundangan subsidiari, perintah, arahan atau notis itu tidak berlawanan dengan peruntukan Akta ini, disifatkan telah dibuat atau diberikan di bawah atau oleh sebab Akta ini, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan mempunyai kuat kuasa sehingga dipinda, dimansuhkan, dihapuskan, dibatalkan atau digantikan di bawah atau oleh sebab Akta ini.
(3) Walau apa pun subseksyen (1) dan (2), berkaitan dengan sesuatu hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan atau akan dijatuhkan ke atas seseorang banduan pada atau selepas mula berkuat kuasanya Akta ini, undang-undang yang disebut dalam Jadual Ketiga hendaklah terpakai.
(4) Walau apa pun subseksyen (1)—
(a) mana-mana pegawai atau orang yang dilantik untuk bertindak atau bekerja di bawah atau oleh sebab Ordinan yang dimansuhkan atau disifatkan sebagai dilantik untuk bertindak atau bekerja di bawah atau oleh sebab Ordinan yang dimansuhkan hendaklah terus dan disifatkan telah dilantik atau bekerja di bawah atau menurut kuasa Akta ini; dan
59Penjara
(b) apa-apa siasatan atau prosiding yang dimulakan atau belum diselesaikan di bawah Ordinan yang dimansuhkan sebaik sahaja sebelum berkuat kuasanya Akta ini hendaklah diteruskan atau diselesaikan di bawah dan mengikut Ordinan yang dimansuhkan.
(5) Dalam seksyen ini, “prosiding” bererti apa-apa prosiding walau apa pun mengenai jenis sivil atau jenayah termasuk sesuatu permohonan pada mana-mana peringkat sesuatu prosiding.
(6) Pada tarikh bermulanya berkuat kuasa Akta ini, Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang ditubuhkan di bawah Ordinan Penjara 1952, Kumpulan Wang Hadiah Penjara yang ditubuhkan di bawah Ordinan Penjara 1956 [Sabah Ord. 7 tahun 1956] dan Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang ditubuhkan di bawah Ordinan Penjara [Sarawak Bab 24] hendaklah digulung dan semua wang, harta, sama ada harta alih atau tak alih dan liabiliti yang kepadanya pelbagai kumpulan wang itu adalah berhak atau tertakluk kepada hendaklah oleh sebab seksyen ini menjadi wang, hak harta dan liabiliti Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang ditubuhkan di bawah seksyen 60 oleh kuat kuasa undang-undang tanpa apa-apa keperluan bagi sesuatu notis untuk diberi kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan pemindahan tersebut.
JADUAL PERTAMA
[Subseksyen 10(3)]
Pegawai Kanan Penjara
Komisioner Jeneral Penjara
Komisioner Penjara
Timbalan Komisioner Penjara
Penolong Kanan Komisioner Penjara
Penolong Komisioner Penjara
Penguasa Penjara
Timbalan Penguasa Penjara
Penolong Penguasa Penjara
Ketua Inspektor Penjara
Inspektor Penjara
60 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
Pegawai Rendah Penjara
Sub Inspektor Penjara
Sarjan Mejar Penjara
Sarjan Penjara
Koperal Penjara
Wadar
JADUAL KEDUA
[Subseksyen 68(1)]
PEMANSUHAN
Nombor Ordinan/ Kaedah- Kaedah
Tajuk Ordinan/Kaedah- Kaedah
Takat Pemansuhan
1. O r d . P . T . M . 81/1952
Ordinan Penjara Keseluruhannya
2. Ord. Sabah 7/1956 Ordinan Penjara Keseluruhannya kecuali yang berikut:
(1) subseksyen 70(4) hingga (14); dan
(2) subseksyen 81(1) berkenaan dengan hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan ke atas seseorang banduan sebelum tarikh mula berkuat kuasa Akta ini.
3. Sarawak Bab 24 Ordinan Penjara Keseluruhannya kecuali subseksyen 34(4) hingga (14).
4. Sarawak G.N.S. 31/1956
Kaedah-Kaedah Penjara
Bahagian VI
61Penjara
JADUAL KETIGA
[Subseksyen 68(3)]
PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG
Negeri Takat Pemakaian
1. Sabah Bahagian 6 Kaedah-Kaedah Penjara 1953 [L.N. 326/1953]
2. Sarawak Bahagian 6 Kaedah-Kaedah Penjara 1953 [L.N. 326/1953]
JADUAL KEEMPAT
[Subseksyen 46E(2)]
KESALAHAN YANG TIDAK LAYAK BAGI PELEPASAN PAROL
1. Kanun Keseksaan Keseluruhan Bab VI
Keseluruhan Bab VIA
Seksyen 194
Perenggan 225(e)
Perenggan 304(a)
Seksyen 364
Seksyen 374A
Seksyen 376
Seksyen 376B
Seksyen 377B
Seksyen 377C
Seksyen 377E
Seksyen 388
Seksyen 460
2. Akta Penculikan 1961 [Akta 365] Seksyen 3
62 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
3. Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37]
Seksyen 3
Seksyen 3A
Seksyen 4
Seksyen 5
Seksyen 7
4. Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] Seksyen 6B
5. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 [Akta 82]
Seksyen 57
Seksyen 59
63Penjara
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 537
AKTA PENJARA 1995
SENARAI PINDAAN
Undang-undang yang meminda
Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari
P.U. (A) 118/2003 Perintah Penyemakan Undang-Undang (Pembetulan Akta Penjara 1995) 2003
25-04-2003
Akta A1189 Akta Penjara (Pindaan) 2003 Belum berkuat kuasa
Akta A1332 Akta Penjara (Pindaan) 2008 30-06-2008
64 Undang-Undang Malaysia AKTA 537
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 537
AKTA PENJARA 1995
SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA
Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari
2 Akta A1332 30-06-2008
10 Akta A1332 30-06-2008
11 Akta A1332 30-06-2008
19A Akta A1332 30-06-2008
22 Akta A1332 30-06-2008
37 Akta A1332 30-06-2008
43 Akta A1332 30-06-2008
44 Akta A1332 30-06-2008
45 Akta A1332 30-06-2008
Bahagian IVA Akta A1332 30-06-2008
46A Akta A1332 30-06-2008
46B Akta A1332 30-06-2008
46C Akta A1332 30-06-2008
46D Akta A1332 30-06-2008
46E Akta A1332 30-06-2008
46F Akta A1332 30-06-2008
46G Akta A1332 30-06-2008
46H Akta A1332 30-06-2008
46I Akta A1332 30-06-2008
46J Akta A1332 30-06-2008
46K Akta A1332 30-06-2008
65Penjara
Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari
46L Akta A1332 30-06-2008
46M Akta A1332 30-06-2008
46N Akta A1332 30-06-2008
46O Akta A1332 30-06-2008
47 Akta A1332 30-06-2008
50 Akta A1332 30-06-2008
55 Akta A1332 30-06-2008
58 Akta A1332 30-06-2008
61 Akta A1332 30-06-2008
Bahagian VIIA Akta A1332 30-06-2008
62A Akta A1332 30-06-2008
62B Akta A1332 30-06-2008
64 Akta A1332 30-06-2008
67 Akta A1332 30-06-2008
Jadual Pertama Akta A1332 30-06-2008
Jadual Keempat Akta A1332 30-06-2008
Keseluruhan Akta Akta A1332 30-06-2008